Penubuhan Bahagian Audit Dalam adalah ditetapkan melalui kehendak Pekeliling Perbendaharaan Malaysia, PS 3.1 (Pelaksanaan Audit Dalam Di Kementerian Atau Jabatan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) dan Surat Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 5 Mei 2009. Bahagian Audit Dalam menjalankan tugas secara bebas dan berperanan untuk membantu pihak pengurusan memantapkan lagi akauntabiliti, tadbir urus dan integriti dengan memberikan kepastian yang munasabah melalui Laporan Audit yang objektif. Selain itu, Bahagian Audit Dalam juga memberikan khidmat perundingan kepada Auditi melalui ceramah/bengkel bagi mempertingkatkan tahap kecekapan dan keberkesanan tadbir urus organisasi serta perbelanjaan secara berhemah. Bahagian Audit Dalam, Kementerian Dalam Negeri diketuai oleh Ketua Audit Dalam Gred Utama C yang bertanggungjawab terus kepada Ketua Setiausaha Kementerian.
MAKLUMAT PERKHIDMATAN
Bahagian Audit Dalam, Kementerian Dalam Negeri adalah bertanggungjawab untuk: 1. Mengkaji kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem kewangan serta kawalan dalaman organisasi; 2. Mengkaji tahap pematuhan kepada segala dasar, undang-undang, peraturan dan arahan yang berkuat kuasa; 3. Mengkaji program/aktiviti diuruskan secara berhemat, cekap dan berkesan; 4. Mengkaji aset dan kepentingan dilindungi dari segi kehilangan, penipuan dan penyelewengan; 5. Memberi nasihat/pandangan mengenai kawalan dalaman terhadap semua prosedur operasi dan sistem aplikasi ICT; 6. Melaporkan hasil pengauditan dan memantau tindakan susulan diambil oleh pihak pengurusan terhadap perkara yang dibangkitkan; 7. Menyediakan Rancangan Audit Tahunan dan Laporan Tahunan Audit Dalam; 8. Menyediakan Laporan Audit kepada pihak pengurusan Kementerian/Jabatan /Agensi; dan 9. Membentangkan Rancangan Tahunan dan Laporan Audit Dalam di Mesyuarat Jawatankuasa Audit.