telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


Soalan Lazim Hubungi Kami Aduan dan Maklum Balas Peta Laman

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

logo-header

logo-header

TEKS UCAPAN YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN MENTERI DALAM NEGERI SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamua’laikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Yang Berhormat Datuk Mohd Azis bin Jamman

Timbalan Menteri Dalam Negeri

 

Yang Berbahagia Dato’ Seri Alwi bin Hj. Ibrahim

Ketua Setiausaha

Kementerian Dalam Negeri

 

Yang Berbahagia Dato’ Jamil bin Rakon

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)

 

Yang Berbahagia Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan)

 

Yang Berbahagia Dato’ Wan Ahmad Dahlan bin Hj. Ab. Aziz

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan)

 

Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Dalam Negeri

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Warga KDN yang saya kasihi. 

  1. Alhamdullilah, segala pujian dan syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan Rahmat-Nya, kita semua dapat berkumpul pagi ini di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri. Ucapan terima kasih saya kepada YBhg. Dato’ Seri Ketua Setiausaha dan Pengurusan Tertinggi atas penganjuran majlis ini walaupun dengan kekangan masa yang dihadapi. Terima kasih juga kepada Jabatan Pendaftaran Negara  yang merupakan tuan rumah bersama dalam penganjuran pada hari ini.
  1. Sempena sambutan Hari Kebangsaan yang disambut pada 31 Ogos 2019 lalu, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan ke-62 kepada semua warga KDN dan rakyat Malaysia amnya. Sesungguhnya nikmat kemerdekaan yang kita capai sejak 62 tahun yang lalu perlu sentiasa diisi dengan semangat untuk mengekalkan kestabilan dan kesejahteraan Negara terutamanya dalam menghadapi cabaran globalisasi supaya ia dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.
  1. Saya juga ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1441 yang disambut pada 1 Muharam/ 1 September 2019 lalu kepada semua muslimin dan muslimat. Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah seharusnya dijadikan ikhtibar bahawa asas kepada kemajuan ummah adalah kesatuan umat yang kuat dan jitu. Umat yang menjiwai makna kesatuan akan sentiasa terbuka minda, berlapang dada serta saling menghormati antara satu sama lain.
  1. Kedua-dua tarikh penting kepada Negara ini hendaklah dijadikan sebagai peringatan kepada kita semua akan kepentingan perpaduan dan sifat bertolerasi untuk negara kekal aman dan sejahtera.

 

PENGERTIAN KEMERDEKAAN

  1. Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957 dan seterusnya Malaysia dibentuk dengan gabungan Persekutuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963. Kemerdekaan negara telah dicapai hasil perjuangan demi pembebasan yang digerakkan oleh rakyat dan pemimpin yang mewakili semua kaum dengan penuh pemuafakatan.
  1. Kemerdekaan dari aspek takrifan bermaksud bebas daripada penjajahan, kurungan atau naungan. Hal ini juga bermaksud bahawa negara yang merdeka tidak bergantung kepada yang lain dan berdikari melalui keupayaan sendiri.  Oleh itu, elemen penting untuk kita terus pertahankan kemerdekaan ini ialah melalui ilmu pengetahuan dan semangat nasionalisme yang tinggi untuk membangunkan negara
  1. Walaupun demikian, kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada jajahan kuasa asing, tetapi juga dari sudut pemikiran, sikap dan tingkah laku daripada sebarang sifat-sifat yang menggugat nilai-nilai murni dan jati diri. Dari aspek takrifan Islam pula bermaksud kebebasan untuk melakukan apa yang disuruh dan menjauhi perkara yang dilarang. Manusia diberikan hak kemerdekaan dalam urusan kehidupan yang mempunyai kaitan dengan konteks takwa. Islam juga melarang sebarang bentuk penganiayaan, keganasan dan penguasaan tidak pada hak. Malah Islam menggalakkan setiap umatnya mencipta kejayaan dan kecemerlangan berdasarkan kepada nilai kemerdekaan.  Berdasarkan takrifan tadi, boleh saya rumuskan bahawa kemerdekaan adalah keadaan di mana negara tidak dikuasai oleh kuasa lain melalui penjajahan, dasar perluasan kuasa atau imperialisme. Kemerdekaan yang dikecapi perlu dipertahankan demi kedaulatan negara dan kemajuan negara.

 

RAIKAN KEPELBAGAIAN

  1. Sejarah juga telah membuktikan keutuhan perpaduan dicapai melalui persefahaman dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kepelbagaian. Perbezaan ini bukanlah satu penghalang malahan satu kekuatan untuk terus bersama memandangkan setiap kaum mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing. Kepelbagaian ini seharusnya terus dihormati dan diraikan. Justeru, kita menolak sebarang bentuk tindak-tanduk yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam kerana ia tidak mencerminkan kematangan, bahkan ia jelas bertentangan prinsip hidup dalam sebuah negara berdemokrasi.
  1. Satu perkara perlu diingati apabila kita menikmati suasana yang cukup aman dan harmoni ini sejak kemerdekaan, tiada siapa yang boleh menafikan bahawa, ia adalah berkat jasa, bakti dan pengorbanan anggota keselamatan tanah air yang selama ini tanpa mengenal erti penat lelah, berkorban apa sahaja, bagi menjamin rakyat dapat hidup dalam keadaan aman sentosa. Seharusnya ucapan terima kasih diberikan kepada semua anggota keselamatan dan penguatkuasa yang sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada negara.

 

ISU 3R (RELIGION, RACE & ROYALTY)

  1. Kerajaan khususnya KDN sedang berhadapan dengan pelbagai isu yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam terutama isu-isu yang melibatkan agama, bangsa dan institusi diraja (3R). Isu ini telah disensasikan dengan tujuan untuk mengugat Kerajaan baharu supaya dilihat tidak melindungi ketiga-tiga aspek ini.
  1. Isu ini semakin hangat apabila tindakan kerajaan dipertikaikan seolah-olah kerajaan gagal melaksanakan fungsinya. Saya percaya peranan kita terutama warga KDN sangat penting bukan sahaja sebagai agensi penguatkuasa malah berperanan penting dalam memberi kefahaman kepada rakyat untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar. 

 

CABARAN MEDIA SOSIAL

  1. Di era globalisasi yang bertunjangkan ‘the internet of things’ dan ‘segalanya berada di hujung jari’ telah menjadikan senario dan cabaran pemupukan semangat perpaduan jauh berbeza dari dahulu. Trend penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi telah menjadikannya satu keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat. Namun kepantasan maklumat yang disampaikan, tidak menjamin kesahihannya.
  1. Berdasarkan statistik dari Jabatan Perangkaan Malaysia, media sosial merupakan medium interaksi utama di Malaysia dengan 96.5% individu menggunakan media sosial pada tahun 2018 berbanding 86.3% pada tahun 2017. Aplikasi yang sering digunakan ialah seperti Whatsapps, Facebook, Instagram, dan Twitter.
  1. Penguna media sosial seharusnya lebih beretika dan bertanggungjawab dengan tidak menyalahgunakan platfom media sosial untuk memanipulasi maklumat, menularkan berita-berita palsu dan fitnah yang hanya akan mengelirukan pemikiran masyarakat. Isu penyebaran berita palsu ini boleh menjejaskan keselamatan Negara serta perpaduan rakyat. Ia umpama ‘duri dalam daging’ yang meresahkan ramai pihak serta boleh memberikan impak negatif dengan tercetusnya perbalahan, perpecahan kaum dan menggugat kesejahteraan hidup bermasyarakat.
  1. Kerajaan tidak menyekat hak bersuara rakyat, walau bagaimanapun maklumat yang dikongsi perlulah yang disahkan kebenarannya. Terdapat garis yang halus antara kebebasan bersuara dengan ucapan yang menggalakkan kebencian dan keganasan. Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif menerusi penyebaran maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama. Kita tidak mahu penyebaran berita palsu ini menimbulkan fitnah dan benci sehingga menyebabkan rakyat merusuh.
  1. Dalam hal ini, PDRM juga perlu dilihat lebih tegas dalam mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dalam negara. Tindakan yang diambil juga perlu adil tanpa mengira siapa atau latar belakang individu-individu yang cuba untuk memainkan isu sensitif dengan bertujuan untuk memporak-perandakan Negara. Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya beri amaran tegas dan telah mengarahkan PDRM supaya tidak bertolak ansur dalam keadaan begini.
  1. Saya juga ingin menyeru warga KDN agar tidak terlibat dengan anasir penyebaran berita palsu ini. Sebagai penjawat awam yang merupakan imej kepada perkhidmatan awam, adalah wajib batas-batas perhubungan dalam komunikasi melalui media sosial diketahui. Kawal diri dalam memberikan sebarang komen terhadap isu-isu di media sosial terutamanya isu mengenai perkauman dan apa sahaja penulisan yang boleh menjejaskan imej Kerajaan serta Negara. Gunakanlah saluran yang betul untuk menyampaikan aduan atau melaporkan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.

 

TANGANI SEMUA ISU DENGAN BIJAKSANA

  1. Warga KDN juga diharap dapat memberikan maklum balas bagi menangani semua isu yang timbul dengan penuh berhemah dan bijaksana. Saya juga ingin mengingatkan Ketua Jabatan dan Agensi untuk meneruskan usaha libat urus dalam menguar-uarkan inisiatif-inisiatif yang telah kita laksanakan dan yang telah dicapai dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam supaya maklumat yang tepat dan terkini disampaikan secara terus kepada semua pelanggan KDN.
  1. Penjelasan bersepadu dan menyeluruh meliputi intipati dasar dan strategi Kerajaan perlu disebar luas kepada rakan strategik, rakan pintar KDN dan masyarakat melalui pelbagai medium dan forum. Tindakan proaktif yang diambil terhadap sesuatu isu atau aduan akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat kepada Kerajaan.
  1. Harus diingatkan juga, kualiti dan standard perkhidmatan awam perlu sentiasa ditambah baik. Disinilah konsep Kaizenboleh diaplikasikan bagi melaksanakan penambahbaikan yang berterusan dalam perkhidmatan sehingga mencapai tahap yang lebih sempurna.  Perkara ini hendaklah dijadikan sebagai satu amalan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam terutamanya kita di KDN.   Perkhidmatan yang diberikan perlulah lebih efisen dan mesra.  Maka di sinilah keperluan untuk latihan yang mencukupi dan berterusan diberikan terutamanya soft skills seperti kemahiran berkomunikasi kepada anggota-anggota kita yang merupakan barisan hadapan Kerajaan .
  1. Selain itu juga, peningkatan terhadap kefahaman berhubung dasar semasa Kerajaan juga akan sekaligus dapat menambahbaik kecekapan perkhidmatan awam. Ingatlah bahawa rakyat sentiasa menilai dan mereka mempunyai ekpektasi yang amat tinggi terhadap Kerajaan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik.

 

AGENDA INTEGRASI NASIONAL

  1. Selain itu juga, agenda integrasi nasional perlulah dijadikan keutamaan dalam setiap dasar dan inisiatif yang dirancang. Ini bagi menjamin keamanan dalam negara lebih-lebih lagi bagi negara yang majmuk seperti Malaysia. Integrasi nasional penting bagi memastikan kelestarian kestabilan politik dan ekonomi Negara supaya terus dilindungi dan terpelihara. Tanpa dasar integrasi yang tepat dan sesuai pasti akan memberikan kesan yang besar kepada pembangunan Negara.

 

KEJAYAAN KDN

  1. Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada KDN yang telah mencapai 5 bintang dalam prestasi pengurusan kewangan dengan skor 94.84% pada tahun 2018 berbanding 88.38% pada tahun 2017. KDN juga telah mencapai tahap cemerlang dalam Inspektorat Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan kekal 5 bintang dari tahun 2018.
  1. Kedua-dua penilaian ini adalah untuk mengukur prestasi penyampaian perkhidmatan Kerajaan bagi pengurusan kewangan dan pengurusan keselamatan perlindungan agensi-agensi Kerajaan. Syabas saya ucapkan kepada semua warga KDN dan semoga ini juga menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
  1. Seterusnya, pencapaian setengah tahun Ministerial Performance Indicator (MPI) 2019 juga amat memberangsangkan. Sehingga 30 Jun 2019, pencapaian MPI adalah 80% dan berdasarkan analisis pencapaian, daripada 27 aktiviti yang telah ditetapkan, 20 aktiviti yang melebihi 80% dan lima (5) aktiviti berada diantara 50%-70% dan 2 aktiviti hanya akan dinilai pada penghujung tahun.
  1. Saya percaya semua KPI yang ditetapkan pada tahun ini akan dapat dicapai seperti yang disasarkan berdasarkan performance yang ditunjukkan sebelum ini. Marilah kita semua warga KDN terus menggembleng tenaga dan menyumbang idea, untuk menjadikan KDN lebih unggul kerana pencapaian yang cemerlang dibuktikan dengan kepuasan rakyat.

 

PINGAT PERKHIDMATAN CEMERLANG (PPC)

  1. Pada pagi ini juga akan diadakan majlis penganugerahan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) kepada dua orang penerima. Pengiktirafan ini dianugerahkan kepada kecemerlangan luar biasa yang disumbangkan dalam aktiviti tugas rasmi dan luar tugas rasmi oleh penjawat awam yang terpilih. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Sarjan Tengku Fazlina Binti Tengku Ibrahim dan Encik Anuar Bin Mamat atas penganugerahan ini dan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa yang anda berdua telah berikan kepada organisasi dan negara. Semoga anda berdua menjadi role model dan pemangkin kepada rakan-rakan lain untuk sama-sama terus cemerlang dalam perkhidmatan.

 

PENUTUP

  1. Akhir kata, usaha untuk memupuk semangat patriotisme dan membentuk jati diri bangsa perlulah dibuat secara berterusan tanpa henti. Janganlah kita menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan terdahulu dengan berasa selesa dan mengambil mudah dengan apa yang kita ada sekarang. Hayatilah erti sebuah kemerdekaan dan pertahankanlah Negara kita. Pepatah yang sering kita dengar “Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh” memberikan seribu makna untuk kita memastikan rakyat Malaysia terus bersatu padu dan Negara kekal aman.
  1. Marilah sama-sama kita merapatkan saf dan berazam agar semangat Hari Kebangsaan dengan tema Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih, dapat kembali menyemarakkan semangat patriotisme di dalam diri kita dan menyemai budaya integriti untuk Malaysia yang lebih sejahtera demi masa hadapan generasi akan datang.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

AGENSI & PAUTAN LUAR


AGENSI & PAUTAN LUAR


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Hakcipta Terpelihara © Kementerian Dalam Negeri 2018
Paparan terbaik pada Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
dan Google Chrome dengan resolusi minima 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

Kemaskini Terakhir: 16 Oktober 2024.
Jumlah Pelawat : 1116862

moha qrcode