PROJEK CADANGAN PEMBANGUNAN KOMPLEKS ICQS SECARA BERSEPADU DI BUKIT KAYU HITAM, KEDAH
1. Lawatan kerja YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada hari ini bertujuan meninjau dan memeriksa kemajuan projek menggantikan kompleks sedia ada yang menempatkan sepuluh (10) agensi di mana dilaksanakan dalam dua (2) dengan Fasa 1 sedang giat dilaksanakan.
2. Bagi menyurai kesesakan kenderaan berat, Kompleks Kenderaan Berat (KKB) yang baru akan dibuka terlebih dahulu pada hari ini yang melibatkan 60% daripada komponen pembangunan di Fasa 1. Baki 40% daripada pembangunan Fasa 1 merangkumi Kompleks Kenderaan Ringan (KKR), Pejabat Operasi dan Pentadbiran serta kemudahan awam di jangka dibuka sepenuhnya sebelum 1 November 2017.
3. KKB yang baru mempunyai sebanyak dua kali ganda lorong pemeriksaan berbanding sebelumnya dan dilengkapi dengan aplikasi penguatkuasaan seperti mesin pengimbas kargo, jambatan timbang, cold room, pusat kuarantin haiwan dan tanaman dan sebagainya.
4. Kemudahan Fasa 1 beroperasi secara sementara bagi urusan keluar masuk dari Malaysia ke Thailand dan dari Thailand ke Malaysia. Komponen Fasa 2 melibatkan pembinaan KKR dan KKB untuk urusan keluar dari Malaysia ke Thailand dan apabila siap Fasa 2, bangunan dan kemudahan di Fasa 1 hanya beroperasi bagi urusan masuk ke Malaysia dari Thailand.
5. Apabila siap sepenuhnya pada 31 Disember 2017, pintu masuk Bukit Kayu Hitam mampu menyediakan keperluan urusan keluar masuk sempadan sehingga 20 tahun sebagai hab pengangkutan menjana ekonomi negara dan mobiliti pelancong dari zon utara tanah air.
MESYUARAT PERINGKAT TERTINGGI (HLC) MENGENAI KESELAMATAN ICQS BUKIT KAYU HITAM
6. YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada hari ini juga mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Tertinggi (HLC) Mengenai Keselamatan ICQS Bukit Kayu Hitam.
7. Mesyuarat telah membincangkan tentang keperluan perjawatan bagi operasi 24 jam ICQS dan isu keselamatan seperti pengoperasian, logistik serta langkah-langkah peningkatan keselamatan di sempadan.
PROGRAM PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI YAB TPM BERSAMA AGENSI-AGENSI PENGUATKUASAAN ZON UTARA
8. YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berkesempatan beramah mesra bersama pegawai agensi penguatkuasaan zon utara dan masyarakat setempat bersempena Hari Raya Aidiladha yang disambut Jumaat lalu. Sejumlah 20 ekor lembu telah dikorbankan secara gotong-royong dan diagihkan kepada pegawai penguatkuasaan serta masyarakat setempat seramai hampir 2,000 orang.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Putrajaya
3 SEPTEMBER 2017