KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
STATUS PENGGUNAAN SEMULA PASPORT MALAYSIA ANTARABANGSA (PMA)
YANG TELAH DILAPORKAN HILANG
1 OGOS 2016
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewajibkan semua kehilangan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti mana peraturan yang sedia ada berkuatkuasa sejak 27 Februari 2015.
Semua maklumat mengenai PMA yang dilaporkan hilang akan dikongsi dalam pangkalan data INTERPOL. Langkah ini diambil bagi memastikan PMA berkaitan tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam konteks ini, PMA yang dijumpai semula TIDAK BOLEH DIGUNAKAN dan permohonan gantian PMA hendaklah dibuat untuk tujuan ke luar negara.
Pangkalan Data Stolen and Lost Travel Document (SLTD) INTERPOL boleh diakses oleh beberapa negara termasuk Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Sehubungan itu, penggunaan semula PMA yang telah dilaporkan hilang di negara-negara yang mempunyai akses kepada pangkalan data SLTD INTERPOL akan diambilkira sebagai perjalanan dengan dokumen yang tidak teratur dan boleh mengakibatkan pelbagai masalah kepada pemegang PMA sama ada pemilik sebenar atau pihak ketiga yang cuba menyalahgunakan PMA berkenaan.
Dalam hubungan ini, KDN mengingatkan semua pihak supaya mematuhi arahan melaporkan kehilangan PMA kepada PDRM dan memohon gantian PMA untuk tujuan perjalanan keluar negara.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Putrajaya
Untuk maklumat lanjut mengenai kenyataan media ini sila hubungi Bahagian Komunikasi Korporat di talian 03 – 88868533 / 3406 / 8451 / 8524.