Program Townhall Garis Panduan Asas Klasifikasi Filem 2015
SIARAN MEDIA
Mengenai
PROGRAM TOWNHALL GARIS PANDUAN
ASAS KLASIFIKASI FILEM 2015
10 DISEMBER 2015
1.Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan Program Townhall Garis Panduan Asas Klasifikasi Filem 2015 pada 10 Disember 2015 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Masir Kujat, Timbalan Menteri Dalam Negeri II. Program ini bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas dan pandangan daripada pihak industri perfileman (pengarah dan penerbit filem), persatuan, NGO dan agensi Kerajaan yang berkaitan dalam memuktamadkan Draf Garis Panduan Asas Klasifikasi Filem. Dokumen tersebut seterusnya akan menjadi rujukan bagi penentuan klasifikasi filem berdasarkan adegan, jalan cerita, tema, dialog, bahasa dan sarikata dalam sesebuah filem.
2.Garis Panduan Asas Klasifikasi Filem ini akan membantu pihak industri memahami perkara-perkara yang menentukan klasifikasi sesebuah filem dan seterusnya membantu mereka merancang bentuk dan adegan filem yang akan dihasilkan kelak agar bersesuaian dengan liputan penonton yang diingini. Selain itu, Garis Panduan Asas Klasifikasi Filem, tersebut diharapkan akan dapat mengurangkan jurang perbezaan kefahaman dalam aspek penentuan klasifikasi di antara pihak industri dan LPF pada masa akan datang.