Thailand setuju ekstradisi 10 warganya yang dipercayai dalang kes pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia - Thailand
Thailand bersetuju dengan permintaan Malaysia untuk mengekstradisi 10 warga negara itu yang dipercayai dalang kes pemerdagangan manusia di sempadan kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata 10 individu yang berumur antara 35 hingga 60 tahun itu dikenal pasti terbabit dalam kes penemuan kubur besar di Wang Kelian, Perlis, pada Mei tahun lalu.
Beliau berkata berdasarkan maklumat pihak berkuasa Thailand, individu yang sangat dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia itu sebahagiannya sudah ditahan oleh Thailand manakala sebahagian lagi masih bebas.
"Mereka perlu diekstradisi bagi membolehkan tindakan perundangan dikenakan terhadap mereka. Kita tidak mahu masyarakat antarabangsa memandang bahawa kes itu hanya dilakukan oleh pihak Malaysia, tetapi ia melibatkan jenayah rentas sempadan," katanya.