telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

TEKS UCAPAN YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN MENTERI DALAM NEGERI DI MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2019 KEMENTERIAN DALAM NEGERI

TEKS UCAPAN
YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
MENTERI DALAM NEGERI

DI MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU 2019
KEMENTERIAN DALAM NEGERI

14 JANUARI 2019 (ISNIN), 8.30 PAGI, AUDITORIUM KDN, PUTRAJAYA

 

Bismillahirrahmanirrahim

 

Assalamuálaikum warahmatullahi wabarakatauh dan salam sejahtera.

 

YB Dato’ Mohd Aziz bin Jamman
Timbalan Menteri Dalam Negeri

 

YBhg Dato’ Seri Alwi bin Hj Ibrahim
Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri

 

YBhg Dato’ Sri Nadzri bin Siron
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan)
Kementerian Dalam Negeri

 

YBhg Dato’Jamil bin Rakon
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)
Kementerian Dalam Negeri

 

YBhg Ketua-Ketua Pengarah, Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

 

1.​Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat berhimpun dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementerian Dalam Negeri pada pagi yang berbahagia ini. Sempena majlis ini, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga KDN. Semoga tahun 2019 yang baru sahaja membuka tirainya, akan memberikan semangat kepada kita semua untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dengan lebih berdedikasi dan meningkatkan pencapaian kementerian.

 

FOKUS KDN 2019

 

2.​Fokus utama perkhidmatan KDN bagi tahun 2019 telah dirangka dengan mengambilkira Pelan Strategik KDN 2015-2020, Laporan Kajian Separuh Penggal RMK-11 dan Manifesto Kerajaan. Berdasarkan analisis persekitaran, KDN telah mengenalpasti isu dan cabaran keselamatan dalam negara yang perlu dititikeberatkan dalam pelaksanaan dasar dan program kementerian bagi tahun 2019. Ini merangkumi:

 

i. Ancaman keselamatan yang bukan sahaja bersifat tradisional tetapi juga bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, terrorisme dan ekstremisme;

ii. Pengurusan pintu masuk negara yang semakin mencabar;

iii. Pengurusan pendatang asing yang kompleks kerana tarikan ekonomi dan kedudukan geografi;

iiii. Perkembangan ancaman dadah jenis baharu melibatkan bahan psiko aktif yang lebih berbahaya seperti New Psychoactive Substance (NPS);

v. Jenayah siber yang lebih canggih dari segi keupayaan dan kemahiran tinggi menggunakan modus operandi serangan yang lebih efektif seperti user generated content, e-commerce fraud, pornografi dan perjudian atas talian yang merentasi sempadan;

vi. Penggubalan dan semakan semula perundangan yang selari dengan hak asasi manusia tanpa mengenepikan aspek keselamatan negara;

vii. Penerimaan masyarakat terhadap program pemulihan berasaskan komuniti;

viii. Persepsi masyarakat terhadap imej KDN akibat kes-kes jenayah dalam negara yang tular menerusi media sosial;

ix. Isu integriti dalam proses penyampaian perkhidmatan; dan

x. Kekangan sumber manusia, teknologi, infrastruktur dan kewangan termasuk kemahiran setiap personel.

 

3.​Sehubungan itu, tumpuan utama KDN bagi tahun 2019 ialah untuk

 

i.​Menyemak dan menggubal semula dasar dan undang-undang berkaitan keselamatan agar sentiasa relevan dengan keadaan semasa dan menepati keperluan pemegang taruh dengan mendokong prinsip kedaulatan undang-undang;

ii.​Memperkukuhkan dan mempelbagaikan inisiatif libat urus masyarakat dalam usaha mencegah jenayah terutamanya dengan meningkatkan penglibatan sektor swasta dan NGO;

iii.​Menggunakan teknologi berasaskan Artificial Intelligence (AI) dalam penguatkuasaan dan pembanterasan jenayah;

iv.​Memperkasakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan menggunakan teknologi terkini dalam bidang keselamatan negara selaras perkembangan keselamatan digital (digital security);

v.​Memperkemaskan dasar dan pengurusan kewarganegaraan;

vi.​Memperhebatkan strategi pencegahan dan kawalan radikalisme dan ekstremisme dalam usaha memerangi keganasan global;

vii.​Memperkasakan struktur kawalselia keselamatan di sempadan darat dan maritim negara secara bersepadu;

viii.​Memerangi jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan;

ix.​Memperkasakan program koreksional, rawatan, pemulihan dan pasca pemulihan bagi mengurangkan kadar pengulanglaku jenayah dan penagih dadah berulang;

x.​Memperkukuhkan konsep sukarelawan keselamatan dan pertubuhan sosial dengan meningkatkan penglibatan komuniti dalam usaha pencegahan jenayah;

xi.​Merombak semula sistem pengoperasian imigresen dengan melaksanakan konsep ‘end to end operation’ untuk mengelakkan gejala rasuah dan mempercepatkan proses;

xii.​Melonjakkan kedudukan Malaysia dalam penarafan antarabangsa berkaitan perlindungan terhadap hak asasi manusia; dan

xiii.​Meningkatkan penggunaan media sosial dalam menyebarluas maklumat berkaitan keselamatan dengan lebih efektif dan menangani penyebaran berita palsu.

 

MENINGKATKAN IMEJ DAN MUTU PERKHIDMATAN

 

4.​Dalam melaksanakan tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, semua jabatan dan agensi KDN perlu bekerjasama dan mewujudkan sinergi antara satu sama lain. Ini termasuk berkongsi maklumat dan sumber, merangka strategi bersama dan mengadakan perbincangan yang berterusan dalam menyelesaikan sesuatu isu yang berada di bawah bidang kuasa kementerian. Keberkesanan dalam penyelesaian isu atau masalah yang berkaitan dengan kementerian ini adalah amat penting dalam usaha kita untuk meningkatkan imej kementerian di mata rakyat.

 

5.​Di samping itu, setiap jabatan dan agensi, terutamanya yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang seperti PDRM, Jabatan Imigresen, AADK, AKSEM dan lain-lain perlulah dilihat sebagai jabatan yang berorientasikan perkhidmatan (service oriented) yang mesra rakyat dan bukan semata-mata melaksanakan tugas penguatkuasaan. Sesi libat urus dengan masyarakat sivil dan orang awam juga perlu diadakan secara berterusan. Ini penting untuk memastikan kementerian memperolehi maklumbalas yang tepat daripada masyarakat tentang keberkesanan pelaksanaan dasar dan fungsi kementerian yang pastinya akan membantu kementerian untuk menambahbaik perkhidmatan dari masa ke semasa.

 

6.​Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, saya ingin menekankan bahawa tumpuan yang serius perlu diberikan kepada pembangunan kapasiti warga KDN menerusi latihan yang berterusan. Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan Revolusi Industri 4.0, warga KDN perlu dilengkapkan dengan kecekapan penggunaan teknologi terkini. Saya percaya banyak perkhidmatan yang ditawarkan oleh KDN kepada rakyat dapat disampaikan dengan lebih cepat, cekap dan murah dengan penggunaan teknologi. Ini merangkumi pelaksanaan proses penyampaian perkhidmatan yang berkonsepkan ‘end to end’ menerusi penggunaan teknologi pintar yang berasaskan Artificial Intelligence. Untuk itu, satu pelan latihan pembangunan kapasiti warga KDN berasaskan penggunaan teknologi pintar secara menyeluruh perlu dirangka dan dilaksanakan dengan segera.

 

7.​Selain itu, struktur KDN juga perlu selari dengan perkembangan teknologi dengan memanfaatkan penumpuan dan keterkaitan teknologi (technology connectivity and convergence) dalam mewujudkan organisasi yang dinamik dan fleksibel. Ini termasuk penggunaan konsep “Internet of Things” (IOT) dalam pemprosesan permohonan permit, visa serta pas pekerja asing dan pelaksanaan kawalan sempadan. Dalam konteks ini, pihak kementerian sedang melihat semula semua proses dan prosedur sedia ada melalui “Business Process Reengineering” untuk mengurangkan karenah birokrasi dan memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

 

8.​Aspek integriti juga amat penting dalam menjamin penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Patuhilah prosedur dan peraturan yang ditetapkan dalam melaksanakan tugas seharian. Pastikan setiap tindakan yang diambil adalah selari dengan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa. Amalkan tahap integriti yang tinggi dengan menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa.

 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

 

BAJET 2019

 

9.​KDN merupakan kementerian ketiga yang menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2019 iaitu sebanyak RM12.565 billion bagi peruntukan mengurus dan RM3.09 billion bagi peruntukan pembangunan. Peruntukan yang besar ini perlu dibelanjakan secara optimum dan efektif dengan mengamalkan perbelanjaan kewangan berasaskan keberhasilan.

 

10.​Mengenai pelaksanaan projek-projek pembangunan secara khususnya, saya ingin mengingatkan supaya semua peruntukan dibelanjakan secara efektif dan sistematik. Kita perlu pastikan semua projek disiapkan mengikut jadual dan tidak berlaku kes-kes projek sakit atau terbengkalai yang akan menjejaskan pencapaian kementerian. Untuk itu, pelan risiko projek yang berkesan perlu dilaksanakan dan penilaian tender juga perlu dibuat secara lebih holistik untuk memilih kontraktor yang terbaik dari segi keutuhan kewangan dan kepakaran. Selain itu, perancangan perolehan berasaskan tender terbuka terutamanya penyediaan spesifikasi dan kos perlu dilaksanakan secara berkesan dengan kolaborasi strategik pihak Jabatan Kerja Raya.

 

11.​Pelaksanaan projek pembangunan secara Public Private Partnership (PPP) atau Private Finance Initaitive (PFI) juga perlu dilihat sebagai satu alternatif dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan kementerian. Saya percaya pelaksanaan projek pembangunan secara PPP dan PFI akan memberikan ruang kepada pihak swasta untuk membantu memberikan idea dan penyelesaian terbaik kepada kerajaan dalam menangani kekangan peruntukan pembangunan pada masa ini.

 

MANIFESTO KERAJAAN PAKATAN HARAPAN

 

12.​KDN juga sedang mengambil beberapa inisisatif untuk melaksanakan janji-janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang berkaitan dengan kementerian ini. Ini termasuk mengkaji semula akta-akta berkaitan keselamatan, menangani masalah pendatang asing tanpa izin dan menyelesaikan isu kewarganegaraan bagi kaum India, terutamanya yang berumur 60 tahun ke atas.

 

13.​Akta-Akta yang sedang dikaji ialah Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Perhimpunan Aman 2012. Prinsip asas dalam kajian undang-undang ini ialah kerajaan perlu menggubal undang-undang berkaitan keselamatan yang dapat mengimbangi keperluan untuk menjaga keselamatan negara dengan berkesan dan pada masa yang sama memelihara hak-hak kebebasan asasi seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Pada masa ini, KDN sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk memperhalusi cadangan pindaan atau pemansuhan akta-akta ini yang akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

 

14.​Selaras dengan janji dalam manifesto, KDN telah menganugerahkan taraf kewarganegaraan kepada 1,641 individu berketurunan India berumur 60 tahun ke atas yang telah memenuhi syarat-syarat kewarganegaraan. Secara umumnya, proses permohonan kewarganegaraan memerlukan rombakan terhadap beberapa prosedur dan syarat-syarat yang bersifat pentadbiran untuk membolehkan penilaian ke atas permohonan kewarganegaraan dibuat secara cekap, telus dan adil. Ini termasuk penilaian ke atas kes-kes permohonan kewarganegaraan yang melibatkan pasangan dan anak kepada warganegara, termasuk anak angkat. Justeru, satu dasar kewarganegaraan baharu perlu digubal untuk memastikan mereka yang memenuhi segala syarat dan peraturan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan mendapat anugerah taraf kewarganegaraan tanpa diskriminasi.

 

PINGAT PAHLAWAN JASA NEGARA DAN WEB PORTAL e-PESARA

 

15.​Pada pagi ini akan berlangsung majlis penanugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) yang melibatkan 13 penerima, antaranya Ketua Polis Negara, enam (6) bekas Ketua Polis Negara dan empat (4) bekas Timbalan Ketua Polis Negara. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima pingat dan merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa anda semua dalam memelihara keselamatan negara.

 

16.​Bagi menghargai jasa bekas anggota polis, sebuah laman Web Portal e-Pesara juga akan dilancarkan pada hari ini. Portal ini adalah inisiatif terbaharu PDRM untuk menjaga kebajikan para pesara polis yang telah banyak berjasa kepada negera. Inisiatif ini membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan yang berterusan terhadap kebajikan para pesara polis yang jumlahnya kini mencecah 140,000 orang.

 

17.​Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan pelantikan YBhg Dato’ Jamil bin Rakon sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN dan YBhg Dato’ Indera Khairul Dzaimee bin Daud sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia yang baharu. Saya berharap agar pelantikan kedua-dua pegawai kanan yang berpengalaman ini akan dapat mempantapkan lagi pentadbiran serta pengurusan kementerian dan Jabatan Imigresen Malaysia. Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada YBhg Dato’ Che Murad Sayang bin Ramjan, mantan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN dan YBhg Dato’ Seri Mustafar Ali, mantan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia di atas perkhidmatan mereka.

 

PENUTUP

 

18.​Saya sekali lagi ingin mengajak seluruh warga KDN untuk memulakan tahun 2019 dengan semangat yang lebih kental dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepadarakyat. Perancangan tahun 2019 seperti yang saya nyatakan tadi perlulah dilaksanakan berasaskan kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang memberi impak secara langsung kepada rakyat. Semoga dengan komitmen dan kesungguhan saudara dan saudari semua, kita akan dapat mengekalkan keamanan negara dan mewujudkan kesejahteraan rakyat. Mudah-mudahan KDN akan terus menjadi sebuah kementerian yang sentiasa tangkas dan cekap dalam memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam.

 

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 20 December 2024.
Visitor Count : 1124034

moha qrcode