KENYATAAN MEDIA
YBHG. DATO’ SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
MENGENAI
PERINTAH LARANGAN TERHADAP PENERBITAN
1 JUN 2016
1.Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewartakan Perintah Larangan berkuatkuasa 22 April 2016 terhadap tiga (3) buah penerbitan bertajuk seperti berikut:
i.Rasulullah SAW Sejak Hijrah Hingga Wafat terbitan Pustaka Hidayah, Bandung, Indonesia;
ii.Tafsir Ayat-Ayat Kematian terbitan Pustaka Hidayah, Bandung, Indonesia; dan
iii.Sinema Spiritual : Dramaturgi Dan Kritikan terbitan Unit Buku Harakah, Kuala Lumpur
2.Warta Perintah Larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
3.Ketiga-tiga penerbitan ini dikenakan perintah larangan kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam kerana mengandungi atau seolah-olah mempromosikan unsur-unsur ajaran atau amalan Syiah yang bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di Negara ini.
4.Sehubungan itu, mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam milikannya bagi apa-apa jua maksud seperti itu apa-apa hasil penerbitan larangan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 8 (2) Akta 301 tersebut.
5.Keputusan ini juga dibuat bagi menghalang cubaan untuk menyuntik propaganda Syiah menerusi pengedaran atau penjualan penerbitan kepada orang awam kerana ia mungkin boleh mengelirukan pemikiran umat Islam dan mungkin memberi implikasi negatif daripada sudut keselamatan dan sosial masyarakat Islam di Malaysia.
6.Sehubungan itu, sekiranya masyarakat awam mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang Negara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian telefon 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang
http://moha.spab.gov.my.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Putrajaya
Untuk keterangan lanjut sila berhubung dengan Bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di nombor telefon 03-8886 3407 atau Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Datuk Zukri Valenteno di talian 019-213 3841 atau Pegawai Perhubungan Awam Puan Juliana Semaon di talian 012-222 9426
Bahagian Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Aras 9, Blok D1, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 PUTRAJAYA
Tel: 03-8886 8533
Faks: 03-8888 5932