KENYATAAN MEDIA
TAN SRI DATO’ SERI (DR) HJ. HARUSSANI BIN HJ. ZAKARIA
PENGERUSI, LEMBAGA PENGAWALAN DAN PELESENAN PENCETAKAN AL-QURAN, KEMENTERIAN DALAM NEGERI
MENGENAI
LARANGAN PENERBITANTEKS AL-QURAN DALAM BAHASA LAIN SELAIN DARIPADA BAHASA ARAB
1. Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan mengawal selia pencetakan, penerbitan dan pengimportan teks al-Quran di bawah Akta PencetakanTeks Al-Quran (APTQ) 1986 mengambil perhatian serius terhadap kempen “Lets Read The Quran” bagi menulis dan membaca al-Quran dalam bahasa lain selain bahasa Arab.
2. Lembaga ingin menegaskan bahawa al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T di dalam bahasa Arab dan bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Al-Quran adalah kalam Allah. Membacanya akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah S.W.T walaupun tidak mengetahui maknanya. Al-Quran adalah kitab suci yang mempunyai hokum tertentu apabila berkait dengannya. Al-Quran haram disentuh melainkan dalam keadaan berwuduk dan dilarang membacanya di dalam keadaan berhadas besar. Ini adalah cara memuliakan al-Quran sebagai kalam Allah. Begitu juga al-Quran mempunyai kaedah pembacaannya dengan bertajwid, bertarannum dan makhraj yang betul.
3. Al-Quran yang telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa bagi membolehkan mereka yang tidak memahami bahasa Arab memahami makna al-Quran, namun terjemahan tersebut bukan merupakan naskhah al-Quran tetapi merupakan “terjemahan al-Quran” atau “tafsiral-Quran”. Namun begitu, terjemahan al-Quran hendaklah bersama-sama dengan teks al-Quran dalam bahasa Arab, terjemahan naskah al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang dan takut disalahfahami dan membacanya tidak mendapat pahala.
4. Lembaga menegaskan bahawa menulis dan membaca naskhah al-Quran dalam bahasa lain selain dari bahasa Arab adalah dilarang. Penulisan al-Quran dalam bahasa lain tanpa adanya teks bahasa Arab tidak boleh dianggap sebagai al-Quran. Perbuatan ini boleh diambil tindakan undang-undang dibawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak (AMCP) 1984.
5. Pihak Lembaga bersama-sama dengan pihak berkuasa agama Islam negeri seluruh Malaysia akan mengambil tindakan tegas bagi menyekat gerakan dan kempen berkenaan.
TAMAT