KENYATAAN MEDIA
YBHG. DATO SRI ALWI BIN HJ. IBRAHIM
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI
MENGENAI
LAYANAN DAN RAWATAN YANG DIBERIKAN KEPADA 
DATO SERI ANWAR IBRAHIM
Putrajaya, 27 November 2015
_______________________________________________________________________________________________________________________
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjelaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh media serta pihak tertentu berhubung layanan dan rawatan yang diberikan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim.
Setiap aspek pengurusan seseorang banduan  adalah berasaskan ketetapan Akta Penjara 1995 dan juga Peraturan-Peraturan Penjara 2000. Ditegaskan semua pengesyoran, pertimbangan dan keputusan yang dibuat berhubung layanan dan rawatan kepada Dato Seri Anwar Ibrahim adalah mematuhi batasan yang ditetapkan Akta dan Peraturan Penjara serta dilaksanakan secara profesional.
Penempatan di sel klinik penjara, kemudahan-kemudahan yang diberi, termasuklah makanan tambahan adalah sepertimana syor yang dibuat oleh pegawai perubatan di atas kepentingan kesihatan Dato Seri Anwar Ibrahim. Banduan-banduan lain yang disyorkan pindaan diet atau diet tambahan oleh pegawai perubatan akan diberikan makanan berkenaan sepertimana syor tersebut.
Jabatan Penjara juga tidak pernah mengabaikan keperluan pemeriksaan dan rawatan kesihatan untuk Dato Seri Anwar Ibrahim. Setiap keputusan dan pengesyoran yang dibuat oleh panel perubatan dipatuhi.
Ini termasuklah telah beberapa kali membawa Dato Seri Anwar Ibrahim ke Hospital Kuala Lumpur untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan lanjut, antaranya termasuklah pemeriksaan oleh pakar ortopedik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya sepertimana yang dipohon oleh pihak Dato Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Syor-syor yang dibuat oleh pegawai perubatan sepertimana di atas adalah selaras dengan Akta dan Peraturan Penjara dan ianya telah dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.
Seksyen 37 (1) Akta Penjara 1995 secara jelas menetapkan bahawa rawatan kesihatan untuk seseorang banduan adalah di Hospital Kerajaan. Oleh itu menjadi tanggungjawab Jabatan Penjara untuk membawa seseorang banduan ke hospital kerajaan bagi tujuan rawatan lanjut. Seterusnya berasaskan Peraturan 234, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, pegawai perubatan kerajaan yang memeriksa seseorang banduan boleh membuat pengesyoran lanjut untuk kepentingan kesihatan banduan terlibat.
Berhubung dengan masalah bahu kanan Dato Seri Anwar Ibrahim, sehingga kini Jabatan Penjara belum menerima sebarang keputusan daripada mana-mana pihak berkaitan bentuk rawatan atau pembedahan atau pakar yang dipilih untuk melaksanakan.
Peruntukan undang-undang dan peraturan yang sama juga akan diguna untuk kemudahan rawatan termasuklah rawatan pakar untuk mana-mana banduan lain.
TAMAT