KENYATAAN MEDIA
 
YBHG. DATOÔÇÖ ALWI BIN HJ. IBRAHIM
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI
 
LARANGAN MENGGUNAKAN PASPORT MALAYSIA ANTARABANGSA (PMA) YANG TELAH DILAPORKAN HILANG/ DICURI
 
 
 16 APRIL 2015
 
Kenyataan Media ini adalah susulan daripada kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 31 Januari 2015, yang mewajibkan pelaporan semua kehilangan atau kecurian Pasport Malaysia Antarabangsa(PMA) sama ada di dalam negara atau luar negara ke Balai Polis. 
Sehubungan itu, mana-mana individu yang telah membuat laporan mengenai kehilangan atau kecurian PMA mulai 1 Januari 2010 adalah DILARANG daripada menggunakan dokumen tersebut sekiranya ianya dijumpai semula.  Larangan ini adalah bagi mengelakkan sebarang kesulitan di pintu masuk antarabangsa kerana PMA yang pernah direkodkan hilang akan kekal dalam rekod Organisasi Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan dianggap tidak lagi sah serta tidak akan dibenarkan melalui sempadan/ pintu masuk antarabangsa dengan menggunakan dokumen tersebut. 
Dalam hal ini, warganegara Malaysia boleh memohon PMA baru daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan mengemukakan salinan laporan polis dan yang berkaitan sebagai bukti kehilangan atau kecurian PMA yang terdahulu.   
Bagi mengelakkan sebarang kesukaran dan implikasi negatif kepada kes-kes sebegini, KDN menyeru dan berharap agar warga Malaysia mengambil perhatian serius mengenai peringatan ini. Langkah yang diambil ini adalah bertujuan memastikan kredibiliti dan integriti PMA tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.