YAB Perdana Menteri pada 20 Januari 2015 telah mengumumkan inisiatif pemberian visa secara percuma kepada pelancong rakyat negara tertentu antaranya dari Republik Rakyat China (RRC) bagi menyokong usaha mempromosi MyFest2015 dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara. 
Selaras dengan pengumuman tersebut, Kementerian Dalam Negeri ingin memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya semua permohonan visa bagi tujuan melancong oleh rakyat RRC adalah dikecualikan dari bayaran fi visa pada kadar bersamaan RM30 mulai 15 Februari 2015 sehingga 31 Disember 2015. 
Pengecualian fi visa ini dilaksanakan secara menyeluruh di semua pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara yang mengeluarkan visa kepada warga RRC. Tempoh tinggal yang dibenarkan adalah 30 hari serta tidak boleh dilanjutkan. Syarat-syarat permohonan visa adalah kekal seperti sedia ada. 
Permohonan visa yang dibuat melalui Pusat Sehenti (One Stop Centre) yang dibenarkan beroperasi di negara-negara berkaitan pula masih tertakluk kepada caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Pusat Sehenti tersebut.