Ingkar PKP: 3,125 ditahan, 246 didakwa di mahkamah
Ingkar PKP: 3,125 ditahan, 246 didakwa di mahkamah
KUALA LUMPUR: Seramai 3,125 individu ditahan di seluruh negara kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
Daripada jumlah itu seramai 246 sudah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan termasuk tidak berada di rumah ketika penguatkuasaan PKP.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata pihaknya akan bertindak lebih tegas dalam melaksanakan fasa kedua PKP, bermula esok.
"Saya dan peringkat tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berbincang untuk memperketatkan lagi PKP ini sama ada proses sekatan jalan raya (SJR) sudah mencukupi atau perlu diperbanyakkan lagi.
"Malah kita juga meneliti sama ada perlunya tindakan-tindakan lain yang lebih keras pada masa akan datang," katanya pada sidang media selepas melakukan kunjungan ke Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata kajian mendapati masih ada golongan degil dengan cuba melanggar arahan PKP.