KUALA LUMPUR : Kluster jemaah perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur yang masih ingkar arahan kerajaan untuk membuat saringan COVID-19 akan diambil tindakan tegas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan yang sama katanya akan turut diambil ke atas ahli keluarga yang menyorokkan maklumat mengenai individu yang menyertai perhimpunan itu tetapi tidak melakukan saringan.
"Saya tidak mahu mengumumkan apa hukuman di sini, bila kita sudah ambil tindakan. Masa itu media turun sama-sama melihat apa yang kita akan buat.
"Pada masa ini saya cuma bagi amaran keras. Esok jangan marah kita lagi," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Selasa.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan timbalannya, Datuk Mazlan Mansor.
Hamzah menjelaskan, jumlah sebenar kluster tabligh terbabit masih belum dapat dipastikan memandangkan ada maklumat yang mengatakan jumlah itu mencecah sehingga 20,000 orang.
Namun begitu katanya, setakat ini seramai 10,000 jemaah yang menyertai perhimpunan itu telah dikenal pasti dan disaring.
Dalam perkembangan berasingan, Hamzah berkata kesemua 83 jemaah yang menyertai perhimpunan tabligh di Makassar, Sulawesi, Indonesia baru-baru ini telah dikenal pasti dan diarahkan untuk dikuantarin.
Sementara itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang hantaran yang boleh memudaratkan perpaduan negara dengan mengaitkan wabak pandemik itu.
Katanya, wabak itu boleh menjangkit mana-mana individu tanpa mengira agama, keturunan, pangkat dan kedudukan.
"Jika ada individu yang berbuat demikian, polis akan mengambil tindasan keras," ujarnya lagi.