SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima sumbangan 20,000 keping topeng muka daripada Kedutaan Besar China di Malaysia untuk kegunaan petugas barisan hadapan kementerian berkenaan.
Menurut kenyataan media KDN, sumbangan tersebut disampaikan oleh Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Putrajaya hari ini.
“KDN merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang sangat bermakna daripada Kedutaan Besar China pada hari ini.
“Sumbangan ini mencerminkan hubungan diplomatik dan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara,” katanya.
Hadir sama pada sesi penyerahan sumbangan tersebut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.