Aspek keselamatan harus dimasyarakatkan - Muhyiddin
Aspek keselamatan harus dimasyarakatkan - Muhyiddin
MUAR, 25 Mei (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu aspek keselamatan negara dimasyarakatkan bagi membantu kerajaan mewujudkan keadaan yang lebih selamat demi kemajuan negara pada masa depan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penekanan itu perlu dibuat di setiap peringkat lapisan masyarakat bagi mengatasi permasalahan sosial seperti perselishan faham antara kaum yang akhirnya turut menjejaskan kemajuan dan kemakmuran negara.
Selain itu, katanya, ia bermatlamat untuk membentuk sikap saling memahami antara sesama masyarakat di samping membantu anggota keselamatan menjaga ketenteraman negara.
"Tidak mungkin sesebuah negara mencapai kemajuan kalau ia berdepan dengan masalah keselamatan apa lagi kalau negara itu mengalami peperangan, pergaduhan atau pun perselisihan kaum yang membawa kesan dan musibah kepada rakyat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kesyukuran dan Berbuka Puasa anjuran KDN bagi Parlimen Pagoh di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di sini hari ini.