Putrajaya, 10 Mac 2016: Seramai 349 orang wargakerja KDN serta Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian yang secara konsisten sepanjang tahun lalu menunjukkan prestasi cemerlang telah diraikan dalam Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2015. Daripada jumlah tersebut seramai tiga (3) orang telah diiktiraf sebagai telah mempamerkan kecemerlangan luar biasa dan dihargai dengan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) KDN:
‘ … Penerima PPC KDN ini merupakan pegawai-pegawai yang bukan sahaja telah memberi sumbangan yang padu dalam melaksanakan tugasan di tempat kerja, malahan telah memberi impak yang besar dalam pembentukan masyarakat yang sakinah melalui aktiviti-aktiviti di luar bidang kerja mereka …’
YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Dalam Negeri
Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan satu platform khusus bagi pihak kerajaan menzahirkan tanda penghargaan dan memberi pengiktirafan kepada pegawai awam. Sehubungan itu YAB TPM merangkap MDN sendiri telah menyampaikan Sijil APC dan cenderamata kepada para penerima; di mana terdahulu pada 20 Februari 2016 YAB TPM telah meluangkan masa meraikan seramai 270 orang penerima APC 2015 KDN peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Kuching.
Selari dengan fungsi majlis APC sebagai pemangkin dalam melestarikan komitmen penjawat awam, YAB TPM menggesa wargakerja KDN membudayakan kerja kelas pertama, membuat perubahan dan berkhidmat di luar had kebiasaan, serta menggarap agenda transformasi perkhidmatan awam dengan mengaplikasi NBOS (Strategi Lautan Biru kebangsaan). Gesaan tersebut disimpulkan dalam ucapan YAB TPM dengan beliau mengulangi seruan motivasi yang sering kali dilontarkan kepada wargakerja KDN:
‘ … untuk kita mencapai sesuatu kejayaan atau berada di tahap kecemerlangan adalah usaha yang sukar, namun untuk mempertahankan kejayaan dan mempertingkatkan kecemeralangan adalah misi yang lebih sukar ... oleh itu setiap wargakerja KDN diharap dapat dan perlu berusaha meningkatkan prestasi, mengoptimumkan potensi diri, dan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik pada setiap masa dan dalam apa keadaan pun …’
Kesimpulannya, majlis tahunan APC perkhidmatan awam bukan sekadar untuk meraikan para penerima malahan terselit objektif memberi ingatan akan tanggungjawab mereka supaya mengekal dan meningkatkan tahap prestasi secara berterusan. Manakala hadirin bukan penerima APC 2015 diharap terangsang minda dan tindakan untuk terus meningkatkan prestasi dan komitmen di samping menghayati ekspektasi tinggi di pihak pengurusan dalam menyampaikan perkhidmatan organisasi kepada kumpulan sasar.
Majlis dihadiri bersama YB Timbalan-Timbalan Menteri Dalam Negeri, YBhg. Dato’ Sri Ketua Setiausaha dan Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di bawah KDN. Majlis telah diserikan dengan persembahan tradisi oleh Sarawak JIM Dancers yang mana merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap persembahan kelas atas semasa Majlis APC yang berlangsung di Kuching pada bulan Februari bulan lalu.