Perhimpunan Bulanan bagi bulan Ogos 2015 KDN telah menempa beberapa catitan hari ini dalam sejarah tersendiri khususnya mengenai rekod kehadiran kali pertama para pemegang taruh organisasi KDN. Secara kebetulan program bulanan yang melibatkan semua peringkat wargakerja yang berlangsung di Oditorium Kompleks D beserta perwakilan Jabatan/Agensi di bawah seliaan merupakan majlis perhimpunan pertama KDN bersama YAB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri.
Perhimpunan itu juga merupakan kehadiran buat kali pertama bagi kedua-dua Timbalan Menteri Dalam Negeri (TMDN) yang baru menyertai pentadbiran kerajaan selepas YAB PM mengumumkan rombakan Kabinet 2015 pada 28 Julai 2015 baru lalu. Ketibaan YB Datuk Nur Jazlan Tan Sri Mohamed, TMDN I dan YB Tuan Masir Anak Kujat, TMDN II secara otomatis menjadi tumpuan pandangan wargakerja bagi maksud untuk mengenali secara lebih dekat di samping mengambil peluang untuk menzahirkan ucapan selamat datang secara bersemuka.
Ketibaan Ketua Setiausaha, YBhg. Dato' Sri Alwi turut mendapat perhatian memandangkan ianya merupakan perjumpaan kali pertama KSU bersama wargakerja di majlis rasmi dan berskala besar KDN selepas dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato' Sri pada 31 Julai 2015. Pengumuman dan ucapan tahniah secara terbuka oleh YAB TPM kepada YBhg. Dato' Sri KSU dan YBrs Puan Kamariah Mohd Noah, Ketua Pengarah RELA yang baru dan yang pertama di kalangan pegawai wanita (mulai 13 Julai 2015) juga mendapat tepukan tanda sokongan para hadirin.
Selain itu kehadiran mantan Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), YBhg. Dato' Wan Ali Besar turut merupakan kali yang pertama di majlis perhimpunan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) selepas dinaikkan pangkat berkuatkuasa mulai 10 Ogos 2015.