KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA DR. EVAN MEDEIROS, SPECIAL ASSISTANT TO THE PRESIDENT AND SENIOR DIRECTOR FOR ASIAN AFFAIRS, NATIONAL SECURITY COUNCIL, AMERIKA SYARIKAT KE ATAS MENTERI DALAM NEGERI DI PEJABAT MENTERI PADA 25 MAC 2015
PUTRAJAYA, 25 Mac 2015 - Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menerima kunjungan hormat daripada Dr. Evan Medeiros, Special Assistant to the President and Senior Director for Asian Affairs, National Security Council, Amerika Syarikat bersempena lawatan singkat ke Malaysia pada 24 dan 25 Mac 2015.
Menurut YB Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Malaysia dan Amerika Syarikat sentiasa berusaha mengukuhkan kerjasama yang merangkumi aspek keselamatan dan imigresen di mana kedua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Kerjasama Dalam Menangani Jenayah Rentas Sempadan pada 17 Julai 2012 dan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam aspek Imigresen pada 1 Oktober 2014. Kedua-dua MoU tersebut menekankan kepada aspek pertukaran kemahiran, pengalaman dan bina upaya serta perbandingan amalan terbaik dalam menangani ancaman jenayah rentas sempadan dan imigresen.
Malaysia menghargai Amerika Syarikat sebagai rakan strategik dan sentiasa mengalu-alukan kerjasama dua hala yang lebih erat dan baik memandangkan Amerika Syarikat juga adalah rakan dialog ASEAN dan turut bekerjasama dengan negara-negara serantau dalam menangani jenayah rentas sempadan. Malaysia akan menghoskan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-10 (10th AMMTC) dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisasi dan Keganasan Melampau di Kuala Lumpur pada 28 September hingga 2 Oktober 2015 di mana Amerika Syarikat akan dijemput untuk turut serta sebagai salah satu rakan dialog ASEAN.