telephone03 - 8000 8000 envelopepro[at]moha[dot]gov[dot]my

phone  03 - 8000 8000       
email  pro[at]moha[dot]gov[dot]my


FAQ Contact Us Complaints and Feedback Site Map

kdnfaqkdncontactuskdnfeedbackkdnmap

TEKS UCAPAN YAB TPM MAJLIS PERSIDANGAN PSIKOLOGI MODAL INSAN (PICC)

MAJLIS PERSIDANGAN PSIKOLOGI MODAL INSAN (PICC)

Tempat: 
PICC PUTRAJAYA
Tarikh: 
Monday, October 9, 2017
 
 

Alhamdulillah marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat kita berhimpun dalam Persidangan Psikologi Modal Insan 2017 yang penuh bermakna ini. Izinkan saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah di atas penganjuran persidangan ini.  Saya dimaklumkan ini adalah persidangan yang julung kali diadakan dengan menggabung warga kerja sektor awam dan swasta, bertujuan meningkatkan kesejahteraan modal insan negara Malaysia.  Syabas sekali lagi!

 

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh anggota perkhidmatan awam dan tenaga kerja Malaysia yang begitu komited dalam melaksanakan tugas masing-masing.  Kesetiaan dan kesungguhan yang dijelmakan tidak pernah dipandang sepi apatah lagi dinafikan sumbangannya dalam mendokong hasrat kerajaan menjayakan Agenda Transformasi Nasional 2050 (#TN50). Tanpa sumbangan tuan-tuan dan puan-puan semua, pastinya keharmonian dan kesejahteraan negara ini tidak mampu kita kecapi hari ini.

 

Sudah pasti, penghargaan dan ucapan terima kasih juga perlu saya zahirkan khususnya kepada YBhg. Tan Sri Zainal Rahim Bin Seman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam kerana telah mengatur ruang dan kesempatan yang sangat bermakna buat saya bertemu dan berinteraksi dengan hadirin sekalian. Kita semuanya golongan profesional.  Tidak perlu rasanya saya memberi nasihat kerana kita sama-sama tahu bidang tugas masing-masing dalam membantu usaha kerajaan membangunkan negara dan rakyat. Cukup sekadar kita saling mengingati sesama sendiri. Namun begitu, saya ingin menyampaikan rasa penghargaan terhadap sumbangan yang diberikan oleh PERKESO, CUEPACS, MTUC dan Majlis AKRAB Kebangsaan dalam menjayakan sidang kali ini.

 

TEMA: “#SEJAHTERA NEGARAKU MALAYSIA”

 

Hadirin yang dikasihi sekalian,

 

Cabang ilmu Psikologi berperanan besar dalam membina kekuatan watak yang bercirikan sifat unggul kemandirian, kecekalan, keyakinan dan semangat kebersamaan yang kental.  Ia berupaya menggali potensi diri yang selama ini kurang disedari dalam jiwa setiap individu agar terus utuh mengharungi rempuhan globalisasi dan merentasi samudera transformasi. Memperkatakan tentang transformasi ini, usaha mempertingkatkan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.  Pada hemah saya, konsep kesejahteraan itu sendiri membawa makna yang amat luas. Kesejahteraan bersifat objektif boleh dinilai dari segi kestabilan politik, kemakmuran ekonomi, jaminan keselamatan serta akses kepada pendidikankesihatan dan komunikasi yang baik.  Manakala kesejahteraan dari kayu ukur yang bersifat subjektif boleh dilihat berdasarkan elemen psikologi rakyat Malaysia yang berkait dengan kepuasan, kebahagiaan hidup dan keharmonian masyarakat, serta kesihatan mental yang baik.

 

Dalam sudut pandang yang lebih meluas dan pengiktirafan yang diraih di peringkat global, kejayaan Malaysia dalam membawa kesejahteraan rakyat telah diakui pelbagai pihak. Misalannya, Tabung Kewangan Antarabangsa atau International Monetary Fund (IMF) pada tahun ini menyatakan bahawa garis keyakinan yang terlakar di atas kanvas yang mensasarkan Malaysia sebagai negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 bukan lagi mimpi, malah kini akan menjadi realiti.  Menurut IMF, Malaysia telah diakui sebagai negara yang memiliki pertumbuhan ekonomi yang cepat berbanding negara serantau.  Kadar pertumbuhan ekonomi negara yang direkodkan sebanyak 4.2 peratus pada 2016 dijangka akan berkembang di antara 4.3 peratus dan 5 peratus pada tahun 2017.

 

Kadar kemiskinan pula, kini dilaporkan berada pada paras 0.6 peratus, manakala kadar pengangguran dan inflasi pula adalah pada paras yang rendah.  Meniti garis masa perjalanan negara dari tahun 2010 sehingga 2016 telah menyaksikan kerajaan mewujudkan 1.8 juta peluang pekerjaan dan lebih sejuta daripadanya merupakan pekerjaan berstatus berpendapatan tinggi. Kerajaan juga telah mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan yang baik yang akhirnya membawa kepada peningkatan purata jangka hayat rakyat Malaysia. Pada tahun 2017 contohnya, purata jangka hayat golongan lelaki dicatatkan menjangkau 72.7 tahun, manakala bagi perempuan pula 77.4 tahun

 

Berhubung kesejahteraan yang bersifat subjektif yang merangkumi elemen psikologi, kesejahteraan rakyat Malaysia juga dilaporkan berada dalam keadaan yang baik.  Menurut Laporan Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report 2017 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara kita kini menduduki tangga ke-42 daripada 155 negara berbanding tempat ke-47 pada tahun lalu.  Malah dapatan indeks ini juga menunjukkan negara kita mengatasi negara maju seperti Jepun (51), Korea Selatan (56), Turki (69), China (79) dan sebagainya. Indeks ini memfokuskan kepada tiga dimensi utama yang menjadi ukuran kebahagiaan yang dirasakan oleh individu iaitu penilaian kepuasan hidup, pengalaman emosi serta makna dan tujuan dalam hidup.

 

Global Peace Index (2017) seterusnya meletakkan Malaysia di tangga ke-29 daripada 162 negara sebagai negara yang aman dan selamat untuk didiami.  Begitu juga Best Countries Report(2017) yang dikeluarkan oleh Y&R's BAV Consulting dan The Wharton School of the University of Pennsylvania menempatkan Malaysia di kedudukan ke-35 daripada 80 negara yang memiliki kualiti hidup yang baik.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya hormati sekalian,

 

Mengapa saya sebut semua ini?  Kerana konsep kesejahteraan total yang saya sebutkan ini tidak datang begitu sahaja. Proses pemerkasaan, kesejahteraan dan kesepaduan rakyat Malaysia disumbangkan oleh rakyat amnya dan tuan-puan yang di hadapan saya pada hari ini khususnya, sepanjang dekad-dekad yang lalu. Sesungguhnya, tema persidangan “Sejahtera Negaraku Malaysia” ini sangat bertepatan dengan hasrat dan aspirasi negara yang kini berada di selekoh terakhir menjelang tahun 2020.  Dalam hubungan ini, saya berharap agar dua objektif penganjuran persidangan ini akan tercapai.  Pertamanya, mewujudkan keharmonian modal insan negara yang mengukuhkan kesejahteraan rakyat dan yang kedua, memupuk dan membentuk nilai baharu dan set minda dinamik yang menyokong teras aspirasi pembangunan negara.

 

Hadirin yang saya hormati sekalian,

 

Dalam dunia yang dicorakkan oleh landskap ketidaktentuan dan diasak gelombang cabaran silih berganti, peranan tenaga kerja Malaysia menjadi lebih mencabar dan kompetitif berbanding sebelumnya. Harapan dan tuntutan dari segenap pihak ke atas prestasi dan pencapaian perkhidmatan semakin lantang dilontarkan, manakala palang prestasi penyampaian perkhidmatan yang perlu dilangkaui juga telah menjadi semakin tinggi.Berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi  ini, Program Transformasi Kerajaan (GTP) adalah satu-satunya penyelesaian yang memberi pengharapan baharu.  Justeru, seluruh penyedia perkhidmatan termasuk awam dan swasta perlu memartabatkan tadbir urus terbaik dan meniup semboyan penyampaian perkhidmatan terbilang demi mensejahtera kehidupan rakyat dan memartabatkan nama negara di persada global.

 

Hadirin yang dikasihi sekalian,

 

Fenomena hari ini juga memperlihatkan bahawa kejayaan sesebuah negara bukan sahaja diukur dari dimensi ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, malahan turut didokong oleh pembangunan modal insan yang berketrampilan berteraskan intelektual dan profesionalisme.  Agenda pembangunan negara juga harus berfokuskan kepada usaha pemantapan ilmu, pemerkasaan daya intelektual dan keterampilan diri modal insan yang unggul.  Tindakan yang menjurus kepada peningkatan keupayaan modal insan menerusi penguasaan ilmu,  pemupukan budaya dan nilai murni menjadi semakin kritikal dan ini perlu dilaksanakan secara holistik dan tersusun. 

Dalam konteks ini, perancangan Malaysia berkaitan pembangunan modal insan yang digariskan sekali lagi mendapat perhatian dunia.  Contohnya,  The Global Talent Competitiveness Index 2017 (GTCI) memperakui kesungguhan Malaysia dalam pembangunan bakat, terutamanya berkaitan teknologi dan inovasi. Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-28 daripada 118 negara. Penilaian ini mengukur kemampuan Malaysia dalam menarik (attracting), mengasah (growing) dan mengekalkan bakat (retaining).  Selain itu, GTCI turut mengiktiraf kemampuan Malaysia melahirkan tenaga kerja yang memiliki kemahiran vokasional dan teknikal serta berkemahiran tinggi.

 

Saya mengambil maklum, bagi membangunkan modal insan yang berkualiti, perkhidmatan awam telah memperkenalkan Program Pementoran sejak 2008 dengan tujuan memberikan bimbingan, sokongan dan bantuan kepada pegawai muda yang baharu menyertai Perkhidmatan Awam dan mereka yang baharu dinaikkan pangkat. Program ini berjaya menyediakan barisan pelapis yang berketerampilan dan berkualiti dalam perkhidmatan awam. Saya ingin menyeru dan menyarankan agar rakan kita di sektor swasta juga dapat menyediakan satu program seumpamanya atau menggiatkan usaha program sebegini agar kecemerlangan sedia ada dapat dijalankan kepada generasi pelapis tonggak pembangunan negara masa depan. Dengan itu, kejayaan yang kita kecapi hari ini dapat diwariskan kepada generasi masa depan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Kepentingan aspek kesihatan mental perlu sentiasa diberi perhatian khusus. Saya ingin berkongsi hasil dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan pada 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kajian ini mendapati prevalen masalah kesihatan mental di kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas ialah pada kadar 29.2 peratus yang dianggarkan berjumlah 4.2 juta orang.  Gangguan mental ini antara lain melibatkan masalah berkaitan kemurungan, penyalahgunaan bahan dan lain-lain penyakit neurologi.

Kajian tersebut mendapati, masalah gangguan mental ini berpunca daripada faktor seperti tekanan kerja, masalah perhubungan, kurang kemahiran keibubapaan, perceraian dan keganasan rumah tangga.  Selain itu, masalah berkaitan kemahiran psikologi seperti kurang kemahiran daya tindak (poor coping skill) dan sokongan sosial lebih memburukkan status kesihatan mental seseorang.

 

Oleh yang demikian, kerajaan sangat menyokong segala usaha untuk membangunkan dasar dan kegiatan yang menjurus kepada kesihatan mental yang boleh membantu dalam kesejahteraan modal insan negara.  Saya menyeru semua pihak agar kempen kesihatan mental tidak hanya disambut pada Hari Kesihatan Mental Sedunia yang ditetapkan tanggal 10 Oktober setiap tahun tetapi hendaklah diadakan program kesedaran sepanjang masa secara berterusan. Saya yakin bahawa pendekatan psikologi boleh dimanfaatkan dalam menangani isu kesihatan mental. Pendekatan psikologi yang berorientasikan pencegahan seharusnya diperkasakan bagi mengisi jurang dalam pendekatan menangani kesihatan mental sedia ada yang terlalu memberi fokus kepada aspek pemulihan.

 

Dalam konteks perkhidmatan awam, perkhidmatan psikologi telah mula diperkenalkan secara rasmi dengan tertubuhnya Bahagian Perkhidmatan Psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 1992. Ini bermakna, perkhidmatan psikologi telah wujud dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun dan menyambut Jubli Perak perkhidmatannya pada tahun ini.  Dalam tempoh tersebut, banyak sumbangan dan kejayaan dicapai dalam membangun dan mensejahterakan modal insan.  Negara kita diuji dengan pelbagai kejadian yang menggangu kesejahteraan emosi rakyat.  Di antaranya, kejadian MH 370, MH 17 dan pelbagai lagi bencana alam lain seperti banjir dan kebakaran.  Di sini kita melihat sumbangan dan kerjasama antara pakar bidang psikologi dan kaunseling telah membantu memulihkan trauma dan gangguan psikologi yang dialami mangsa.  Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua pakar psikologi yang menyumbang usaha bakti kepada negara.

 

Bagi maksud memperkasa kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, perkhidmatan psikologi dan kaunseling dalam konteks komuniti perlu diperluaskan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Perkhidmatan psikologi dan kaunseling ini sewajarnya boleh dicapai oleh setiap lapisan masyarakat diseluruh pelusuk negara. Bagi tujuan itu, Perkhidmatan Awam telah mewujudkan sistem sokongan serta pencegahan kepada permasalahan psikologi bagi membantu penjawat awam melalui Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam atau lebih dikenali sebagai AKRAB. Saya difahamkan, sejak diperkenalkan pada tahun 2005, program ini telah berjaya dan berfungsi untuk membantu penjawat awam menangani isu kehidupan dan pekerjaan mereka. Secara tidak langsung program ini berjaya mengangkat martabat dan kualiti penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat di negara ini.

 

Selain itu, Kerajaan melalui PERKESO di bawah Kementerian Sumber Manusia juga telah melancarkan Program Return to Work (RTW) pada tahun 2007 bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.  Program ini adalah satu inisiatif bertujuan membantu pencarum PERKESO yang hilang upaya melalui sesi kaunseling, intervensi pemulihan fizikal, pemulihan vokasional, latihan pekerjaan dan akhirnya boleh kembali bekerja.  Sejak diperkenalkan pada tahun 2007 hingga Ogos 2017 seramai 17,183 orang pekerja telah  dipulihkan dan kembali semula bekerja.  Pada hemat saya, program yang baik rakan pembimbing dan Return To Work ini perlu diperluaskan pelaksanaannya oleh semua organisasi, syarikat dan lapisan masyarakat.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Saya berharap perkhidmatan psikologi dalam pengurusan modal insan negara ini terus diperkasakan bagi memastikan keseimbangan fizikal, emosi, tingkah laku dan spiritual warga kerja negara ini berada di tahap yang terbaik.  Keseimbangan ini dilihat amat penting dimiliki oleh setiap modal insan bagi membolehkan mereka memberi sumbangan terbaik kepada negara. Setiap guna tenaga yang ada di negara ini perlu dipastikan berada dalam keadaan terbaik agar mereka boleh bersama menggerakkan gelombang kecemerlangan negara menjelang 2050.

 

Modal insan bertaraf dunia boleh dicapai sekiranya setiap tenaga kerja di dalam negara ini mempunyai minda dan keinginan untuk mencapai kecemerlangan, disaluti etika yang luhur dan mengamalkan budaya berpencapaian tinggi. Oleh itu, saya ingin menyarankan agar kaedah tertentu diperkenalkan untuk menilai tahap kesihatan mental setiap modal insan di negara ini.  Hal ini penting bagi memastikan jentera tenaga kerja yang menyumbang kepada pembangunan negara diisi dengan individu yang sentiasa berfikiran positif, matang, mempunyai keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif serta ampuh menghadapi cabaran dunia semasa.

 

Akhir sekali, bagi mengetengahkan peranan bidang psikologi kepada negara, saya berpandangan bahawa satu indeks khusus untuk mengukur tahap kesejahteraan psikologi rakyat Malaysia perlu diwujudkan. Bertitik tolak daripada itu, saya ingin mencadangkan agar sebuah indeks yang dinamakan sebagai Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia, dibangunkan bagi mengukur tahap kesejahteraan rakyat Malaysia. Untuk tujuan membangunkan Term of Reference (TOR) serta parameter yang bersesuaian bagi menyukat tahap kesejahteraan psikologi rakyat, saya lontarkan cabaran ini kepada para cendekiawan yang ada dalam Perkhidmatan Awam dan tenaga pakar yang ada untuk menzahirkan indeks ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Sebagai menyimpul bicara saya pada hari ini, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Persidangan Psikologi Modal Insan Tahun 2017 ini. Sesungguhnya, psikologi itu merupakan elemen positif dalam kehidupan kita seharian.  Buang jauh-jauh, malah padamkan stigma yang dilabelkan ke atas istilah ‘psikologi’ itu sendiri. Kekuatan psikologi dapat memastikan kesejahteraan diri dan keseimbangan fizikal, mental, tingkah laku dan spiritual.

 

Kata HAMKA:“Kehidupan itu laksana lautan. Orang yang tiada berhati-hati dalam mengayuh perahu, memegang kemudi dan menjaga layar, maka karamlah ia digulung oleh ombak dan gelombang.  Hilang di tengah samudera yang luas. Tiada akan tercapai olehnya tanah tepi”.

 

 Dengan itu, saya menyeru agar kesejahteraan modal insan ini dapat diberi keutamaan untuk kita meraih kejayaan menjadi negara maju dalam acuan kita sendiri menjelang 2050. Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz kalimah mulia ‘Bismillahirrahmanirrahim’, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Psikologi Modal Insan Tahun 2017.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamu’alaikum w.b.t.

AGENCIES & EXTERNAL LINKS


AGENCIES & EXTERNAL LINKS


alamat Setia Perkasa 1, 2, 7 & 9, Kompleks Setia Perkasa, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 Putrajaya
hubungi Tel: 03 8000 8000
Fax : 03-88891613 / 03-88891610
emel pro[at]moha[dot]gov[dot]my

Copyright Reserved © Ministry of Home Affairs
Best viewed using Mozilla Firefox 3, Internet Explorer 10
and Google Chrome with minimum resolution of 1366x768

fb3 update tweet update youtube insta

  • Latest Update : 21 November 2024.
Visitor Count : 1121137

moha qrcode